Quantcast

Assalamualaikum. Den percaya anda yang sedang membaca artikel ini tentunya tahu tentang perniagaan model dropship. Tak perlulah den terangkan panjang lebar tentang apa itu dropship supaya den boleh fokus kepada topik berkenaan drop shipping automation. Secara ringkas, dropship adalah model perniagaan di mana kita menjual produk orang lain tanpa perlu simpan stok dan tak perlu buat penghantaran.


Sekali pandang memang lebih kurang sama dengan perniagaan model Affiliate. Bezanya, transaksi jual beli itu berlaku antara anda dengan pelanggan. Pelanggan beli produk dari anda. Anda terima duit. Selepas berlaku transaksi jual beli dengan pelanggan, anda akan kirimkan butiran pelanggan kepada pemilik produk yang akan membuat penghantaran kepada pelanggan.

Dropship Flow

Kebanyakan peniaga yang bertindak sebagai ejen dropship tidak mempunyai sistem tempahan. Proses jual beli berlaku melalui WhatsApp, Telegram dan Facebook Messenger. Aliran jual beli adalah seperti:

  1. Ejen iklankan produk.
  2. Prospek bertanya tentang produk.
  3. Ejen berikan maklumat beserta “Tawaran Istimewa” kepada prospek.
  4. Prospek minta no akaun bank untuk buat pembayaran.
  5. Ejen berikan no akaun beserta minta maklumat penghantaran.
  6. Prospek buat pembayaran dan hantarkan bukti pembayaran serta maklumat penghantaran yang diminta.
  7. Ejen semak pembayaran dan hantarkan tempahan dan bayaran kepada pemilik produk.
  8. Pemilik produk semak pembayaran dan buat penghantaran produk kepada pelanggan.

Aliran jual beli seperti di atas ini boleh dikatakan lumrah bagi setiap penggiat perniagaan model dropship. Bagi yang mempunyai website/kedai online, alirannya mungkin kurang sedikit. Tidak perlu berinteraksi dengan prospek secara “direct”. Tugas itu dilakukan oleh website/kedai online.

Ejen masih perlu membuat semakan pembayaran dari pelanggan. Ejen masih perlu membuat tempahan dan bayaran kepada pemilik produk.

Baiklah. Di sini den nak tunjukkan satu sistem di mana anda, sebagai ejen dropship, boleh meng otomasikan proses tempahan dan pembayaran produk dropship anda.

Tempahan dan Pembayaran Produk Dropship Dengan BillPlz Payment Gateway

Apa itu BillPlz? BillPlz adalah sebuah sistem yang membolehkan anda menyediakan satu borang tempahan dan bayaran. Anda hanya perlu memberikan URL kepada borang tempahan tersebut kepada pelanggan anda.

Sebagai contoh, jika anda (andaikan diri anda sebagai pelanggan) klik pada pautan ini => https://billplz.com/keretalumbaf1 anda akan dapat melihat borang tempahan seperti gambar berikut:

BillPlz Payment Form Kereta Lumba F1

Dengan borang tempahan ini, anda boleh isikan butiran seperti nama, email, no telefon, alamat dan bilangan unit produk yang anda inginkan. Setelah itu, anda boleh terus membuat bayaran dengan menekan butang “Pay”

BillPlz FPX Bank Selections

Anda kini boleh melakukan pembayaran melalui akaun bank dengan membuat pilihan bank dari senarai yang diberikan.

BillPlz Pay Button

Setelah memilih bank, klik pada pilihan “I AGREE ..” dan klik pada butang “PAY”.

BillPlz FPX Bank Login

Anda kini dibawa ke halaman login untuk akses ke khidmat online bank pilihan anda tadi. Pastikan URL di browser anda adalah URL bank anda sendiri.

Anda hanya perlu login dan buat pembayaran melalui bank anda. Anda tidak perlu tahu no akaun pihak yang dibayar kerana BillPlz akan uruskannya untuk anda.

Anda akan menerima email dari BillPlz dan juga FPX berkenaan transaksi yang baru anda lakukan tadi.

Itulah dia aliran proses membuat tempahan dan pembayaran menggunakan BillPlz yang pelanggan akan lalui.

Drop Shipping Automation Dengan BillPlz, Bagaimana?

Tadi, den dah tunjukkan kepada anda bagaimana “Payment Form” BillPlz berfungsi. Sekarang den nak tunjukkan pula cara membina “Payment Form” tersebut.

Pendaftaran Akaun BillPlz

Mulakan dengan Bismillah .. 😀 😀 😀  .. sambil sambil anda melawat ke website BillPlz di SINI

BillPlz Homepage Signup

Simple kan halaman utama BillPlz. Tak banyak yang boleh anda lakukan di laman web utama mereka ini. Anda hanya ada tiga pilihan – Login (bagi yang sudah ada akaun) dan Signup sebagai Organization atau Individual sahaja.

Mulai bulan September 2016, FPX telah mengeluarkan arahan supaya segala transaksi FPX hanya boleh dilakukan ke akaun syarikat sahaja.

Apa maksudnya? Sekiranya anda ingin menggunakan BillPlz bagi tujuan menerima bayaran dari pelanggan, anda perlu mempunyai syarikat dan akaun bank syarikat tersebut. Anda juga perlu mendaftar di BillPlz menggunakan akaun Organization dan bukannya individual.

So.. dah daftar syarikat ke belum? Kalau belum, sila daftar SSM dan bank akaun syarikat dahulu. Ini kehendak FPX, bukannya syarat BillPlz.

Jom tekan butang “Organization” – Siap diberi RM3 credits dalam akaun. Dapat dua transaksi percuma 😀

BillPlz Account Registration

Di halaman pendaftaran ini, anda perlu mengisi semua ruang ruang yang diperlukan. Setelah semuanya diisikan, tekan butang “Submit”

Setelah anda “Submit” borang pendaftaran, anda perlu “activate” akaun anda. Semak akaun email anda. Anda sepatutnya telah menerima satu email dari BillPlz.

BillPlz Activation eMail

Buka email tersebut. Di dalamnya ada satu pautan bertajuk “Please click here to activate your Billplz account”. Klik pada pautan tersebut. Anda akan dibawa masuk ke dalam sistem BillPlz di mana akaun anda telah pun diaktifkan.

BillPlz Dashboard

Anda kini ada RM5.00 RM3.00 dalam akaun anda. Bonus dari BillPlz kerana mendaftarkan akaun anda. Jumlah kredit ini akan digunakan untuk membayar segala cas yang dikenakan oleh BillPlz. Sekiranya perlu tambah, anda hanya perlu tekan butang “Reload Credit”.

Ada eloknya, sebagai langkah permulaan anda semak dahulu segala butiran yang anda masukkan.

BillPlz Account Settings

Di halaman “Settings” ini, anda patut pastikan maklumat Bank anda sememangnya betul. Anda juga perlu membuat pengesahan akaun bank anda. Tekan butang “Verify Account”.

BillPlz Verify Bank Account

Selepas 48 jam, anda perlu semak transaksi akaun bank anda. Sepatutnya ada satu transaksi bernilai RM0.01 yang telah dilakukan oleh BillPlz dengan kod pengesahan yang kelihatan seperti – “CODE 123456 …”.

BillPlz Bank Statement

Masukkan kod 6 digit tersebut ke dalam ruang yang disediakan dan tekan butang “Submit”. Itu sahaja yang perlu anda lakukan untuk mengesahkan akaun bank anda. Anda sudah boleh menggunakan BillPlz sepenuhnya.

Bina BillPlz Payment Form

Setelah selesai semua kerja kerja asas pendaftaran, anda kini boleh mula membina “Payment Form” untuk produk produk anda.

BillPlz Payment Form

Klik pada menu “Payment Form”. Kemudian klik pada butang “+Collection”.

BillPlz New Payment Form

Isikan segala maklumat yang berkenaan untuk “Payment Form” anda ini. Berikut adalah penjelasan tentang ruang ruang tersebut:

  1. Nama link untuk produk anda. Gunakan link yang mudah di ingat dan “catchy”.
  2. Nama produk anda.
  3. Maklumat ringkas tentang produk anda.
  4. Gambar produk (saiz 960×960)
  5. Ruang rujukan. Den gunakan untuk pelanggan isikan Alamat.
  6. Ruang rujukan. Den gunakan untuk pelanggan isikan Nota.
  7. Ruang untuk letakkan URL di mana pelanggan anda akan dibawa selepas transaksi bayaran.
  8. Harga untuk satu unit produk.
  9. Jumlah Cukai sekiranya ada (GST?)

Itu sahaja butiran yang perlu anda masukkan untuk membolehkan anda menggunakan “Payment Form” tersebut.

Setelah siap mengisi semua ruang yang berkenaan, anda perlu tekan butang “Save” untuk melihat sendiri borang tempahan/bayaran yang anda telah bina.

BillPlz Payment Form Preview

Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan apa yang anda bina, anda boleh tekan pada link “Edit Collection”. Jika sudah berpuas hati, anda perlu klik “Back Button” Browser anda beberapa kali untuk kembali semula ke halaman paparan senarai Payment Form anda. Ada bug sikit rasanya dalam “flow Payment Form Creation” nih.

BillPlz Payment Form Bills

Siap sudah “Payment Form” anda. Anda boleh klik “Copy” untuk “Payment Form” anda dan berikan link tersebut kepada prospek yang ingin membeli produk anda.

BillPlz Split Payment

BillPlz menyediakan fungsi “Split Payment”. Dengan “Split Payment”, anda boleh terus kongsikan bayaran yang anda terima bersama satu lagi pihak ketiga. Fungsi ini sangat sesuai untuk perniagaan berkonsepkan ejen.

BillPlz Split Payment link

Contohnya: Dropship Ejen boleh terus buat bayaran kepada Vendor Dropship apabila menerima bayaran dan tempahan dari pelanggan.

Ejen bina Payment Form. Letakkan Split Payment %10 untuk diri sendiri (memang kadar yang telah dipersetujui antara Vendor dan Ejen).

Ejen promote menggunakan Payment Form yang dia bina. Apabila Ejen menerima tempahan dan bayaran melalui Payment Form tadi, BillPlz akan pecahkan bayaran tersebut kepada dua. 90% masuk ke akaun Vendor, 10% masuk ke akaun Ejen. Kedua dua vendor dan ejen akan menerima butiran tempahan tersebut.

BillPlz Split Payment Settings

Di bahagian Split Payment anda boleh letakkan:

  1. Email akaun (pengguna BillPlz) dropship vendor anda.
  2. Nilai bahagian anda mengikut jumlah (“Fixed Cut)
  3. Nilai bahagian anda mengikut peratusan (“Variable Cut”).

Untuk menggunakan fungsi “Split Payment” ini, kedua dua pihak mestilah mempunyai akaun BillPlz.

Sekiranya anda seorang ejen dropship dan vendor anda pun menggunakan BillPlz, perniagaan dropship anda kini semakin mudah. Anda boleh kekal fokus kepada kerja kerja menarik traffik dan menambah pelanggan. Anda tidak perlu lagi membuat tempahan dan bayaran kepada vendor dropship anda. Semuanya dilakukan secara otomatik dalam “Payment Form” BillPlz anda.

Nota untuk Split Payment: Setting yang anda lakukan ini tidak boleh diubah. Sekiranya anda perlu ubah setting “Split Payment”, anda perlu “Stop Collection” dan bina “Payment Form” yang baru.

Bila Anda Terima Bayaran Dari BillPlz?

Setiap transaksi pembayaran dari FPX tidak akan masuk terus ke akaun bank anda. Ianya akan melalui akaun BillPlz terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda tidak perlu melaburkan wang dan masa anda untuk berurusan dengan FPX dan bank bank yang menjadi ahli. BillPlz menjadi orang tengah.

BillPlz akan menerima bayaran dari pelanggan melalui FPX secara terus. Kemudian, BillPlz akan transfer jumlah transaksi tersebut ke dalam akaun anda dan juga akaun “split payment” (jika ada).

Bila pemindahan ini akan berlaku?

BillPlz Settlement Schedule

Setiap transaksi yang berlaku pada hari Isnin, Selasa, dan Rabu akan dimasukkan ke akaun anda pada hari berikutnya – Selasa, Rabu, dan Khamis.

Transaksi yang berlaku pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu, dan Ahad akan dimasukkan ke akaun anda pada hari Isnin.

So.. kalau perlu nak rolling duit pada kadar segera, jangan guna BillPlz pada hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu. Hari Isnin baru duit masuk.

BillPlz Tetap Ada Had dan Kekurangannya

Jika anda lihat pada “Payment Form” BillPlz anda itu, tentu anda dapat lihat beberapa kekurangan dan kelemahan yang ada pada borang tersebut. Jom kita lihat di mana letaknya kelemahan kelemahan BillPlz.

  1. Tiada ruang untuk kos penghantaran. Buat masa ini, “Payment Form” BillPlz tidak mempunyai ruang untuk meletakkan kos penghantaran. Oleh itu, kos penghantaran terpaksa dimasukkan sekali ke dalam harga produk. Ini boleh membuatkan harga produk melambung tinggi untuk produk produk yang ringan sekiranya pelanggan membeli dalam kuantiti yang banyak.
  2. Satu form untuk satu jenis produk. Tiada ruang khas untuk anda meletakkan variasi produk seperti warna dan saiz. Sekiranya produk anda hanya ada satu variasi, anda mungkin boleh menggunakan ruangan Reference 2 sebagai ruang menyatakan variasi yang dipilih. Namun sekiranya terdapat lebih dari 1 variasi, tiada tempat untuk menyatakannya dalan tempahan.
  3. Tiada ruang khas untuk alamat. Sekiranya ada ruang khas untuk alamat, ruang Reference itu boleh digunakan untuk variasi.
  4. Tiada ruang untuk memasukkan kupon discount atau cabutan bertuah.

Itu sedikit sebanyak kelemahan yang den dapat fikirkan buat masa ini. Anda ada nampak lain lain kelemahan?

Tapi.. (ada tapi pulak), setiap kelemahan yang den nyatakan ini, boleh diatasi sekiranya anda menggunakan sistem shopping cart yang boleh menggunakan BillPlz sebagai payment gateway seperti WordPress + WooCommerce. (Hubungi den kalau nak bina shopping cart yang menggunakan BillPlz)

Cas Setiap Transaksi BillPlz

Sebelum den akhiri posting den ini, den nak sentuh sedikit tentang cas cas yang dikenakan oleh BillPlz kepada anda.

BillPlz Fees per transactions

  1. RM0.10 – RM1.50 untuk setiap transaksi, bergantung kepada credit yang anda reload.
  2. RM0.15 untuk setiap SMS yang dihantar. BillPlz akan hantar SMS kepada pelanggan sekiranya mereka ada masukkan no telefon mereka di ruangan telefon dalam “Payment Form”.
  3. Untuk “Split Payment”, pihak ketiga yang menerima bayaran (dropship vendor anda) tidak akan dikenakan sebarang cas. Hanya akaun anda, selaku tuan punya “Payment Form” yang akan dikenakan bayaran.

Nota Pengiraan Sebenar Credit BillPlz dan Bayaran Setiap Transaksi: BillPlz memberi Bonus Credits setiap kali anda membuat Reload ke dalam akaun anda (reload RM5,000 ke atas). Berikut kadar bonus dan contoh jumlah credit yang anda dapat:

  • Standard Plan(Tiada Bonus Credits): Bila anda reload RM50. Anda akan diberi RM50 credits dalam akaun.
  • Fair Plan 1 (50% Bonus Credits): Bila anda reload RM5,000. Anda akan diberi RM7,500 credits dalam akaun.
  • Fair Plan 2 (200% Bonus Credits): Bila anda reload RM25,000. Anda akan diberi RM75,000 credits dalam akaun.
  • Fair Plan 3 (1400% Bonus Credits): Bila anda reload RM50,000. Anda akan diberi RM750,000 credits dalam akaun.

Setiap transaksi, anda akan dikenakan fee sebanyak RM1.50. Tidak kira plan mana anda berada.

Patutkah Ejen Ejen Dropship Menggunakan BillPlz?

Kesimpulan yang den dapat, BillPlz boleh mempermudahkan kerja kerja bagi ejen dropship. Akan tetapi, ianya terhad kepada satu produk. Oleh itu, ia tidak begitu sesuai digunakan secara “standalone” untuk ejen dropship yang menjual pelbagai jenis produk.

Sekiranya anda seorang ejen dropship yang menjual pelbagai jenis produk, anda masih boleh melakukan drop shipping automation dengan BillPlz. Tetapi, anda perlu menggunakan BillPlz yang diintegrasikan dengan sistem Kedai Online seperti WooCommerce dan OpenCart.

Anda rasa BillPlz sesuai untuk anda? Sekiranya anda seorang Dropship Vendor, aktifkan lah akaun BillPlz anda sekarang. Rekomenkan kepada ejen ejen dropship anda supaya turut menggunakan BillPlz.

Kongsikanlah artikel Drop Shipping Automation Dengan BillPlz den ini kepada rakan rakan dropship anda.

InsyaAllah 😀 😀 😀