Quantcast
0123165553 [email protected]
NAK CEPAT? DOWNLOAD POST INI SEBAGAI PDF >>KLIK SINI<<

Ramai pemilik domain tentunya pernah mempunyai masalah “Terlupa Nak Renew Domain”. Domain adalah satu aset penting untuk perniagaan yang menjalankan pemasaran Internet. Selain digunakan sebagai alamat website (untuk yang membeli webhosting), domain juga digunakan sebagai alamat email perniagaan seperti nama@domainanda.com.


Oleh kerana pentingnya sesebuah domain itu, den rasa anda perlu tahu tentang kitaran hidup sebuah domain.

Berapa harikah tempoh yang ada untuk anda memperbaharui domain sekiranya ianya telah tamat tempoh? Sehari? Seminggu? Sebulan?

Apa Jadi Kalau Domain Tamat Tempoh?

Ramai pemilik domain yang baru selalu mengambil mudah bila tiba masa untuk memperbaharui tempoh langganan domain. Bila domain anda tamat tempoh, bukan sahaja website yang tak boleh di akses. Email bisnes anda juga turut tidak dapat dicapai. Fungsi email pun tergendala.

Den sering terima permohonan dari pemilik domain untuk memperbaharukan domain bila mereka menerima berita dari pelanggan/supplier mengatakan mereka gagal menghantar email. Rupa rupanya mereka telah terlupa nak renew domain. Kes terlalu sibuk menguruskan perniagaan.

Apa yang ramai tidak tahu, bukan semua domain yang telah tamat tempoh itu boleh di renew dengan segera. Ianya bergantung kepada status domain tersebut – di peringkat mana domain itu berada di dalam kitaran hidupnya.

5 Peringkat Kitaran Hidup Sebuah Domain

Setiap domain mempunyai 5 peringkat atau status dalam kitaran hidupnya iaitu “available”, “active”, “expired”, “redemption”, dan “pending delete”. Jom den terangkan apa makna setiap satu status tersebut.

Domain dalam status “Available”

Setiap domain secara amnya akan berada dalam status “Available” terlebih dahulu. Status ini memberi maksud domain tersebut belum menjadi hak milik sesiapa. Sekiranya anda melakukan carian domain dan menerima respond menyatakan domain anda itu “available”, maka bolehlah anda membeli domain tersebut.

GoDaddy Domain Search

Setelah membeli domain, anda kini telah menjadi pemilik domain tersebut.

Kalau difikirkan betul betul, kita sebenarnya tidak membeli domain. Kita hanya menyewa domain yang kita beli itu. Tempoh sewaan adalah selama mana yang kita pilih dari 1 tahun hingga ke tempoh maksima 10 tahun. Setiap kali tamat tempoh sewaan, kita perlu memperbaharui sewaan untuk tempoh yang baru.

Domain yang telah dibeli akan berubah status dari “available” ke “active”.

Domain dalam status “Active”

Domain yang berstatus “Active” bolehlah digunakan sebagai alamat website dan email bagi perniagaan pemilik domain tersebut. Namun sebelum anda boleh gunakannya sebagai alamat website, anda perlu terlebih dahulu membuat beberapa konfigurasi kepada DNS untuk domain tersebut.

Namecheap Active Domains

Domain yang “Active” tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain tanpa persetujuan pemilik domain. Domain itu juga akan berada dalam status “Active” selama sekurang kurangnya setahun. Ini bergantung kepada jumlah tahun langganan yang dipilih oleh pemilik semasa membuat belian.

Domain yang “Active” juga boleh dipindahkan dari Registry asal (di mana ia dibeli) ke pendaftar domain yang baru. Namun, pemindahan ini hanya boleh dilakukan setelah domain tersebut “Active” selama sekurang kurangnya 60 hari.

Secara kebiasaannya, ramai pemilik domain akan membeli langganan domain selama setahun. Melainkan ada tawaran istimewa penjimatan yang besar untuk belian lebih dari setahun.

Domain dalam status “Expired”

Apabila domain yang anda beli telah tamat tempoh langganannya, pihak registrar akan meletakkan domain tersebut dalam status “Expired”. Biasanya ini akan berlaku dalam masa 24jam setelah domain anda itu tamat tempoh.

Apabila domain yang anda beli itu sudah tamat tempoh langganannya, maka status domain akan bertukar menjadi “Expired”.

Domain akan berada dalam status “Expired” selama 45 hari (maksima). Tempoh ini bergantung kepada pendaftar domain. Ada pendaftar yang meletakkan tempoh “Expired” selama 7 hari. Ada yang 30 hari. Ada juga yang 45 hari. Maka, anda perlulah bertanya kepada pendaftar domain pilihan anda itu, berapa lama tempoh “Expired” yang diguna pakai.

Ketika domain berada di dalam status “Expired”, anda masih boleh memperbaharui langganan domain anda. Tiada pihak ketiga boleh mengambil alih domain tersebut dari anda lagi.

Dalam status “Expired”, anda tidak boleh melakukan pemindahan domain ke Registrar yang baru.

Dalam status “Expired”, semua akses ke website dan juga email anda tidak akan berfungsi.

Sebagai pemilik domain, anda PERLU mengambil tahu berapa lamakah tempoh “Expired” yang diguna pakai oleh pendaftar domain anda. Anda perlu pastikan anda tidak terlepas pandang dan “ter” lupa untuk memperbaharui tempoh “sewaan” domain anda.

Berikut adalah senarai pendek tempoh “expired status” yang ditetapkan oleh beberapa pendaftar domain utama:

  1. GoDaddy: 11 hari. Maklumat lanjut tentang status domain GoDaddy ada di SINI.
  2. NameCheap: 27 hari. Maklumat lanjut tentang status domain NameCheap ada di SINI.
  3. NameSilo: 33 hari. Maklumat lanjut tentang status domain NameSilo ada di SINI.

Domain dalam status “Redemption Period”

Setelah berada dalam status “Expired” selama tempoh yang ditetapkan (penetapan dilakukan oleh Registrar domain itu sendiri), domain yang telah tamat tempoh itu akan dimasukkan ke status “Redemption Period” pula.

Bila domain berada di dalam “Redemption Period”, anda tidak boleh “Renew” domain anda. Proses untuk mendapatkan semula domain dalam status ini dipanggil “Domain Restoration”.

Sekiranya domain yang anda miliki itu PENTING untuk perniagaan, anda tidak mahu ia terlepas ke dalam status “Redemption Period”. Salah satu sebab utama ialah kerana kos untuk “Restore sewaan” dalam status ini adalah sangat tinggi. Boleh mencecah ratusan USD!

Di samping itu, kebanyakan syarikat pendaftar turut meletakkan domain anda ke dalam senarai lelongan. Sekiranya anda tidak memperbaharui sewaan (pada harga yang tinggi), dan ada pihak lain yang membuat bidaan untuk membeli domain anda dalam lelongan, domain anda bakal jatuh ke tangan orang lain.

Jika domain anda telah menjadi milik orang lain, anda mungkin perlu membelinya dari pihak tersebut pada harga yang lebih tinggi lagi. Boleh cecah ribuan USD.

Secara amnya, domain akan berada dalam “Redemption Period” selama 30 hari. Dari apa yang den perhatikan, semua (syarikat pendaftar yang den gunakan la) pendaftar domain mempunyai tempoh yang sama.

Setelah tamat tempoh “Redemption Period”, anda sudah tidak boleh lagi memohon untuk “Restore” semula domain tersebut.

Sekiranya tiada pihak lain yang membuat bidaan untuk memiliki domain anda, ia akan memasuki status yang dipanggil “Pending Delete”.

Domain dalam status “Pending Delete”

Jika domain anda memasuki status “Pending Delete”, anda patut rasa bersyukur. Ini kerana tiada pihak lain yang telah membuat bidaan untuk memiliki domain anda tersebut.

Namun demikian, anda masih tidak boleh mendapatkan domain anda semula pada ketika ini. Domain akan berada dalam status ini selama 5 hari.

Selepas 5 hari, barulah domain anda akan dilepaskan menjadi “Available” untuk dibeli seperti biasa.

Ini tidak bermakna anda boleh mengambil ringan akan situasi ini. Banyak pihak yang mungkin menunggu untuk membeli domain anda sejurus ia dilepaskan dari status “Pending Delete” dan menjadi “Available” semula.

Terdapat pelbagai pihak yang menyediakan khidmat memantau “Expired Domains”. Mereka ini menyediakan khidmat berbayar untuk memantau domain domain yang telah tamat tempoh. Sekiranya ada pihak yang menggunakan khidmat mereka untuk memantau domain anda, pihak tersebut akan diberitahu yang domain anda kini sudah boleh dibeli semula.

Malah, mereka juga menyediakan khidmat membelikan domain untuk pihak yang menggunakan khidmat mereka itu. Oleh itu, sekiranya anda masih juga terlupa nak renew domain (sebenarnya beli semula) dan berfikiran yang tiada pihak yang berminat untuk mendapatkan domain anda, anda mungkin tersilap.

Berapa lama nak tunggu untuk Beli Semula Domain?

So, berapa lama sebenarnya anda perlu tunggu untuk membeli semula domain anda pada harga biasa? Jom kita rumuskan dan kira..

  • Expired – 45 hari. Tempoh ini bergantung kepada syarikat pendaftaran yang anda gunakan. Anda tetap boleh renew dalam tempoh ini.
  • Redemption Period – 30 hari. Anda boleh “Restore” pada harga yang tinggi.
  • Pending Delete – 5 hari. Tiada apa boleh anda lakukan.

Kitaran Hidup Domain

Dari kiraan di atas, tempoh masa maksima yang anda perlu tunggu sekiranya anda terlepas tempoh “Expired” adalah 35 hari. Tempoh ini dikira dari hari domain anda masuk ke status Redemption Period dan anda tidak mahu membayar harga mahal untuk “Restore” domain anda.

35 hari tanpa email? 35 hari di mana segala urusan jual beli di website tidak berjalan. Mampukah perniagaan anda menghadapi situasi ini? Apakah persepsi pelanggan terhadap perniagaan anda apabila mereka gagal mendapatkan servis yang mereka hanya boleh dapatkan dari website anda?

Den harap anda dah faham sekarang kenapa anda perlu renew domain pada kadar segera setiap tahun. Lebih leibh lagi sekiranya anda menggunakan khidmat GoDaddy sebagai pendaftar domain. Anda hanya ada 11 hari sebelum mereka meletakkan domain anda dalam Redemption Period.

Den banyak gunakan NameCheap untuk mendaftar domain untuk website den.

Apa kata anda kongsikan ilmu pengetahuan ini kepada mana mana rakan anda yang turut mempunyai domain untuk perniagaan mereka.

InsyaAllah dan Terima Kasih.

Masalah Terlupa Nak Renew Domain – Anda Perlu Tahu Kitaran Hidup Sebuah Domain was last modified: 2017-08-15T21:53:57+00:00 by Hadee Roslan
(Visited 190 times, 4 visits today)
Workshop WordPress
NAK CEPAT? DOWNLOAD POST INI SEBAGAI PDF >>KLIK SINI<<